Followers

Friday, March 15, 2013

Sifat Ketawa & Gurauan Rasulullah s.a.w



1. Ketawa Kerana Gembira
Dari Abdullah bin Mas'ud dia berkata, "Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya aku mengetahui penduduk neraka yang terakhir keluar darinya dan dia menjadi penduduk syurga yang terakhir kali masuk syurga, iaitu seorang lelaki yang keluar dari neraka dalam keadaan merangkak, lalu Allah berkata kepadanya, 'Pergilah, dan masuklah syurga.’

Lalu dia mendekati syurga itu, lalu dikhayalkan kepadanya bahawa syurga telah penuh. Lalu dia kembali seraya berkata, 'Wahai Rabbku, aku mendapatinya telah penuh.' (Diulang sekali lagi kemudian pada kali ketiga);

Maka Allah berkata kepadanya, 'Pergilah, lalu masuklah ke syurga, kerana kamu (akan) mendapatkan seperti dunia dan sepuluh kali ganda semisalnya, -atau kamu mendapatkan sepuluh kali ganda berbanding dunia-.' Dia berkata, 'Apakah Engkau mempermainkanku sedangkan Engkau adalah Raja?’."

Perawi berkata, "Sungguh aku melihat Rasulullah saw tertawa hingga gigi gerahamnya terlihat." Perawi melanjutkan: "Dan dikatakan bahawa dia adalah penduduk syurga yang paling rendah kedudukannya." [0272] Riwayat Muslim

Sedikit keterangan : Rasulullah saw ketawa kegembiraan kerana kasih sayang Allah meliputi segalanya. Walaupun lelaki itu berbuat kemungkaran di dunia semasa hidupnya, tetapi kasih sayang Allah kepada makhluknya mengatasi kasih sayang makhluk itu terhadap Allah.

Malah lelaki itu seolah-olah tidak percaya bahawa dia dimasukkan ke dalam syurga kerana setelah lama dia di neraka. Maka Rasulullah saw ketawa kegembiraan kerana hal itu sehingga nampak gerahamnya.

Ramai antara kita yang seringkali apabila mendengar syarahan atau ceramah mengenai hari pembalasan (kiamat) akan dihidangkan dengan perkara-perkara yang menakutkan yang dipenuhi dengan azab. Sebenarnya menceritakan akan kehebatan syurga dan bergembira akan nikmatnya juga adalah sunnah. Insyaallah risalah ‘Mengenali Syurga’ akan menerangkan lebih lanjut.

2. Rasulullah saw Tidak Ketawa Terbahak-bahak
Dari Aisyah r.ha ia berkata; "Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw tertawa terbahak-bahak hingga terlihat anak lidahnya, beliau hanya tersenyum." [4454] Riwayat Muslim dan Ahmad

Sedikit keterangan : Rasulullah saw tidak ketawa terbahak-bahak. Hadith ini tidak bertentangan dengan di atas. Boleh kita ketawa hingga nampak gigi tetapi bukannya ketawa terbahak-bahak sehingga tidak bernafas.
Ketawa yang melampau boleh menyebabkan kemudaratan kepada seseorang seperti pengsan, sawan malah boleh menyebabkan kematian.

3. Bergurau Dengan Tidak Bermaksud Mengutuk atau Mencela
Dari Anas r.a dia berkata, Nabi saw bersabda kepadaku: "Wahai Dzal Udzunain (si pemilik dua daun telinga)." Abu Usamah mengatakan; beliau bermaksud untuk bersenda gurau dengannya." [3767] Sahih Al-Tirmidzi

Sedikit keterangan : Bolehnya bergurau dengan memanggil gelaran kepada seseorang. Gelaran tersebut hendaklah tidak menyakitkan hati atau merendah-rendah dan bertujuan menjatuhkan maruah seseorang. Gurauan yang menipu untuk membuat orang lain ketawa juga tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan salah faham dan fitnah.

4. Dilarang Bergurau Hingga Menyebabkan Kemudaratan
Dari Abu Said Al Khudri, ..... (Diringkaskan).... Abdullah bin Hudzafah berkata kepada mereka; "Bukankah kalian wajib taat kepadaku (sebagai pemimpin)?" Mereka menjawab, "Betul." Ia berkata lagi, "Apakah kalian akan melakukan apa yang aku perintahkan?" Mereka menjawab, "Ya. " Ia berkata lagi, "Kalau begitu aku perintahkan kalian untuk masuk ke dalam api ini."

Maka orang-orang pun berdiri dan berkumpul hingga Abdullah bin Hudzafah melihat mereka akan masuk ke dalam api tersebut, lalu ia pun berkata; "Tahanlah diri kalian, sesungguhnya aku hanya bergurau dengan kalian."
Kemudian ketika mereka sudah sampai Madinah, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah saw, maka Rasulullah saw pun bersabda : "Siapa saja dari mereka (pemimpin) yang memerintahkan kalian untuk melaksanakan maksiat, maka janganlah kalian mentaatinya." [11212] Sahih Riwayat Ahmad

Sedikit keterangan : Gurauan yang menyebabkan atau membolehkan seseorang mendapat mudharat kerananya adalah diharamkan. Selalu kita lihat saudara-mara, rakan-rakan atau orang-orang sekeliling kita  gemar bergurau yang boleh membawa kemudaratan seperti mengganggu orang yang melatah, membuat seseorang terkejut dan seumpamanya.

5. Bolehnya Duduk Bergurau Bersama Rakan-Rakan
Dari Simak bin Harb katanya; aku berkata kepada Jabir bin Samurah r.a : "Mungkin anda pernah duduk-duduk bersama Rasulullah saw? Dia menjawab; "Ya, dan begitu banyak kesempatan. Beliau saw  tidak pernah beranjak dari tempat solatnya ketika subuh atau pagi hari hingga matahari terbit, jika matahari terbit, maka beliau beranjak pergi. Para sahabat seringkali bercerita-cerita dan berkisah-kisah semasa jahiliyahnya lantas mereka pun tertawa, namun Beliau (saw) hanya tersenyum." [1074] Riwayat Muslim

Sedikit keterangan : Rasulullah saw pernah duduk bersama para sahabatnya (Allah meredhai para sahabat Rasulullah saw) dan berbual dengan mereka. Ertinya boleh kita duduk bersama dengan rakan-rakan dan berbual, tetapi bukanlah bualan kosong semata-mata.

Berapa ramai antara kita sekarang duduk berbual 4-5 jam bersama rakan-rakan, tapi bila pulang ke rumah tiada siapa ingat apa yang dibualkan. Inilah sembang kosong dan buang masa.

Perbualan yang baik adalah saling mengingati antara satu sama lain, perbualan ilmu (tidak kira mengenai ilmu apa asalkan bermanfaat) serta tidak mengganggu orang sekeliling.

Berbaiklah sesama sahabat dan sebarkan salam ketika duduk ‘lepak-lepak’ bersama rakan-rakan. Hidupkan kembali suasana mencintai ilmu antara rakan-rakan seperti zaman kehebatan Islam dahulu dan bergurau serta ketawalah seperti Rasulullah saw dan para sahabatnya.


#copy paste from Facebook. sebab baru je bagi tazkirah ini seblum Iftar Jamie semalam :)

No comments: